Monday, October 8, 2012

Kita Bukan Robot Tak Bertujuan




Terlalu banyak dalam kehidupan ini, kita melakukan perkara tanpa tujuan yang kukuh. Banyak yang berpasakkan pada rutin, lalu setiap yang dilakukan adalah kosong tak bererti.

Setiap perbuatan pastilah kerana sesuatu, dan tidak ada yang berakal melakukan pekerjaan tanpa sebab. Dan ‘sesuatu’ itu pelbagai, ada yang remeh dan kecil, ada yang besar dan penting. Ia membezakan momentum usaha kita.

‘Sesuatu’ itu, menjadikan kita kuat dan jelas dalam melakukan apa yang kita lakukan. ‘Sesuatu’, yang apabila kita mula sangsi akan perkara yang sedang dilakukan, ia meyakinkan kita untuk terus bergerak.

‘Sesuatu’ yang ada disekeliling kita, ‘sesuatu’ yang sentiasa di depan mata tapi kita buta dari melihatnya. ‘Sesuatu’ yang penting, yang kita abaikan dan memeluk ‘sesuatu’ yang remeh dan lemah; apabila ianya retak kita kehilangan dan tewas.

Ramai yang jatuh dan rebah, hidup seperti robot tak bernyawa, kerana tidak punya ‘sesuatu’, atau ‘sesuatu’ yang mendorongnya bukanlah ‘sesuatu’ yang penting dan hakiki.

Tepuklah dada, dan tanyakan imanmu, apakah ‘sesuatu’mu dalam kehidupan? ‘Sesuatu’mu dalam kehidupan, apakah yang mendorongmu? Atau kamu cuma kayu balak yang mengikut arus, tanpa tahu destinasimu…

Cari ‘sesuatu’ itu, kita manusia bernyawa, bukan robot tanpa tujuan.